Di bawah ni post yg diambil dgn izin dari http://www.saifulislam.com .. Artikel ni dah lama, dipost tahun 2006, tapi amat menarik sampai kini. Semoga memberi manfaat.
Hujung minggu baru-baru ini, syarikat saya diminta oleh pihak sebuah IPT menjalankan kursus kesedaran diri untuk pelajar-pelajarnya (KPPD). Ia adalah program yang dirancang secara ‘bidan terjun’ kerana pada masa yang sama fasilitator kami sedang menjalankan program bersama top management sebuah bank terkemuka di tanah air.
Polisi syarikat kami, melaksanakan program kepada pelajar direkodkan di dalam fail TANGGUNGJAWAB SOSIAL. Walaupun agak tertekan dari segi sumber tenaga fasilitator, namun kami tetap menerimanya. Ia adalah zakat kami dalam melakukan kerja-kerja dakwah. Peserta kali ini terdiri daripada golongan siswazah yang agak istimewa. Bukanlah mereka itu orang kurang upaya atau berIQkan Adi Putra. Mereka ini semuanya dari kumpulan pelajar yang CGPAnya 2.0 ke bawah, sudah diberi amaran terakhir atau baru sahaja dibuang dari universiti. Mereka ditawarkan untuk masuk balik menyambung pelajaran, dengan syarat mereka mengikuti kursus tersebut.
Kira-kira 50 orang daripada yang ditawarkan telah menyahut seruan. Mereka datang dengan berat hati tapi demi mendapatkan kembali tempat di universiti, dilawan juga perasaan tu. Pelajar yang datang ni hebat-hebat. Dari yang berseluar ketat dan baju cukup-cukup tutup kulit badan, sampailah kepada yang bertindik lidah dan bibir. Bersinar-sinar tempias cahaya tindik itu apabila menjawab soalan semasa dalam kursus.
Semasa kursus tersebut kami cuba menyedarkan peserta tentang persoalan terbesar mereka. Selama ini mungkin ada yang berkelakuan liar, berbahasa kasar, kaki gaduh, merempit seakan-akan ‘mahu mati di jalan yang lurus’, dan pelbagai lagi perbuatan sonsang, semuanya adalah ke arah mahu menyelesaikan persoalan besar ini. Tidak lain dan tidak bukan ialah soal TUJUAN HIDUP.
Secara ringkasnya, para peserta dibawa berbincang, bersembang, berkongsi rasa tentang 7 Skrip Kehidupan iaitu:
1 | ARAH | HIDAYAH |
2 | TUJUAN | IBADAH |
3 | JALAN | ISLAM |
4 | BEKALAN | SOLAT |
5 | DORONGAN | BAHAGIA |
6 | PENGHALANG | DOSA |
7 | AKHIR | MATI |
Syukur Alhamdulillah. Di akhir kursus, hampir kesemua peserta memberikan reaksi yang positif. Dari yang biasa-biasa, hinggalah kepada yang bertindik tadi. Syukur ya Allah, sememangnya Engkau lebih suka memberi AMPUN dan PETUNJUK daripada MENGHUKUM kesalahan hamba-Mu. Semasa saya membaca borang penilaian kursus, hati saya amat tersentuh malah akhirnya saya mengalah hingga berhamburan air mata. Antara yang dicatat di situ:
“Terima kasih Allah. Saya bersyukur kerana dapat datang ke kursus ini. Sesungguhnya Engkau telah tunjukkan yang Engkau masih sayang kepadaku kerana memilihku untuk datang ke kursus ini. Barulah saya tahu hidup saya ini sebenarnya untuk apa”
“Setelah 21 tahun hidup, hari inilah kehidupan saya baru bermula. Saya sudah tahu saya hidup untuk apa”
“Inilah hadiah harijadi saya yang paling berharga. Saya sudah tidak peduli apa yang orang fikir tentang saya. Selama ini saya sentiasa mengutuk diri sendiri kerana tidak secantik orang lain, tidak sepandai orang lain. Tetapi hari ini saya hanya mahu buat apa yang terbaik untuk saya dan saya hanya akan peduli apa yang Allah ‘fikirkan’ tentang saya. Saya tidak lagi mahu hidup as a loser!”
Banyak lagi ulasan mereka yang cukup menyentuh hati. Saya doakan agar mereka terus beristiqamah dan dapat mengekalkan momentum kesedaran itu selepas pulang dari kursus. Beberapa hari yang lalu, kami menghubungi salah seorang peserta tersebut dan dia amat gembira lagi terharu menerima panggilan telefon dari kami. Katanya,”saya masih gembira selepas kursus, hingga ke hari ini.”
Persoalan saya di sini ialah tentang nasib mereka di kampus sana. Jika dilihat pada gaya pakaian dan cara pergaulan pelajar-pelajar ini, mungkin mereka bukanlah kumpulan yang mendapat perhatian dakwah dan pendakwah di kampus. Malah jika mereka didekati oleh dakwah dan pendakwah, mungkin mereka juga akan melarikan diri. Kita boleh gelapkan mata dari mengambil peduli terhadap mereka, namun percaya atau tidak, mereka adalah golongan yang ramai. Mereka bukan sahaja ramai di kampus, malah sebenarnya mereka adalah golongan yang ramai di dalam masyarakat itu sendiri. Sekurang-kurangnya di bandar-bandar utama seperti KL, JB, Penang malah Sungai Petani barangkali.
Mengapakah dakwah sukar untuk mendekati golongan ini? Sedangkan mereka amat mengalu-alukan bimbingan kami semasa menghadiri kursus. Mereka tidak menolak dakwah kami, malah mereka menyuarakan hasrat untuk terus berkawan dengan kami.
Inilah yang mendorong saya kepada mencoretkan kisah ini agar ‘lingkungan kami’ itu menjadi semakin besar dengan kebersamaan saudara. Analisa saya mungkin betul mungkin salah, tetapi anggaplah ia sebagai sebahagian usaha saya ke arah mengajak saudara kepada muhasabah dakwah agar setiap hari dakwah kita adalah kepada yang lebih baik.
Mungkin ada yang berpendapat, kejayaan kami adalah disebabkan oleh latar belakang sebahagian tenaga utama kami yang dahulunya berada di dalam pergerakan al-Arqam. Al-Arqam memang dikenali pada suatu ketika dengan kemahirannya ‘menyentuh hati’ walaupun akhirnya ia binasa lantaran pendustaan konsisten Sheikhnya terhadap Allah dan Rasul. Pada saya, hubungkaitnya dengan al-Arqam tidak relevan. Saya tidak ada kena mengena dengan al-Arqam malah saya dan kami semua telah berusaha bersungguh-sungguh ke arah memastikan bau-bau al-Arqam tidak melekat ke tubuh kami. Hadith-hadith palsu dan majhul, kisah-kisah yang entah dari mana sumbernya dan pelbagai racun agama, telah kami keluarkan bukan sahaja dari slide dan modul, malah daripada pemikiran fasilitator kami, jika ada. Syukur dengan sedikit sebanyak pengetahuan saya semasa belajar di Jordan, dapatlah saya buktikan bahawa manusia boleh disedarkan tanpa perlu kepada mengambil hadith palsu dan khabar majhul. Saya amat bersetuju dengan kenyataan Maszlee Malik semasa membuat ulasan tentang dakwah Amr Khalid, motivator terkenal di tanah Arab.
Akan tetapi, penekanan utama kami semasa mengkursuskan peserta adalah seperti berikut:
APA TAJUK BAB 1 DAKWAH ANDA?
Majoriti pelajar tersebut tidak tahu mereka hidup untuk apa. Kenapa mereka perlu kepada Tuhan. Di mana relevannya Islam kepada mereka. Ini merupakan core subject dalam kursus kami. Pada kami, seandainya soalan ini tidak terjawab, maka semua isu lain tidak relevan kerana manusia yang tidak berhajat kepada Tuhan, tidak akan terasa relevannya Islam. Bagaimana mungkin seorang yang tidak dapat merasa dirinya perlu kepada Tuhan, mahu diajak bersolat? Dia mahu menyembah, bermunajat dan beribadah kepada siapa di dalam solatnya? Kerana itulah kami berhati-hati di dalam menentukan yang mana satukah presented problem dan yang mana satu real problem yang sebenar. Seandainya tanpa tujuan hidup yang betul, sudah menyebabkan kewajipan Solat jadi tidak relevan, apatah lagi untuk mengajak kumpulan ini kepada kewajipan menegakkan negara Islam? Mungkin ada yang tetap dapat faham dan terima, namun ramai juga yang natijahnya jadi terpinga-pinga.
Sebagaimana Muaz r.a. diajar Rasulullah s.a.w. tentang susunan tajuk dakwahnya di Yaman, maka pada saya, kata kunci di sini ialah
APA TAJUK BAB 1 DAKWAH ANDA?
SAYANGI DAN HORMATI MAD’U DAN JANGAN MALUKAN ORANG
Kami menghormati dan tidak pernah memandang rendah kepada mana-mana peserta kursus, walaupun kadang-kadang kami diberi info oleh HR bahawa si fulan, tahap masalahnya ialah menyepak bini andaikata dia dapati bininya sembahyang! Kami tak pernah beri muka sacarstickepada peserta walaupun HR kata ada seorang peserta kursus kali ini kerjanya memuja busut jantan untuk dapat nombor ekor. Kami tidak meletakkan sebarang persepsi atau expectationtertentu terhadap mad’u.
Tanggapan sebegini bukan dibuat-buat. Ia harus datang dari akal dan jiwa yang menyetujuinya. Saya berikan perumpamaan, ketika anak kita yang berumur tiga tahun tertumpah kopi di atas seperah, kita boleh sabar dan tidak marah. Kenapa jika orang dewasa melakukannya kita marah? Sebabnya, tiada sebarang persepsi, piawaian atau standard yang kita letakkan kepada seorang budak yang naif tak mengerti apa. Berbeza dengan orang dewasa yang kita sudah tahu kebolehan dan upayanya. Maka inilah yang kami pegang dalam soal dakwah. Pada kami, amat ramai pelaku dosa yang hidupnya sengsara kerana mereka masih kanak-kanak dalam soal mengenal Tujuan Hidup. Mereka naif, mereka sukar mencari jawapan, maka jangan dimarah mereka itu, malah hulurkan tangan untuk membantu.
Semua yang datang ke kursus kami, dianggap sebagai tetamu yang menerima jemputan Allah ke daerah kebaikan. Pada TADBIR manusia memanglah kami merancang kursus bersama HR. Tetapi pertemuan kami dengan peserta adalah TAQDIR Allah. Jika Allah yang jemput mereka ke ‘majlis-Nya’, maka jangan sekali-kali kita yang juga sekadar hamba-Nya mahu memperlekehkan sesiapa. Allah dengan sifat Maha Kasih dan Maha Pemurahnya, tidak memilih dalam soal memberi keperluan hajat manusia. Allah sudi mengampun manusia yang jutawan dosa, maka siapa kita untuk membina kasta di dalam dakwah? Ingatlah kata bijak pandai dalam hal ini, “Hate the sin but not the sinner”. Dalam isu ini kaedahnya mudah sahaja. People don’t care how much you know until they know how much you care! Oleh itu, kata kunci saya di sini ialah SAYANGI DAN HORMATI MAD’U SERTA JANGAN MALUKAN MEREKA.
JANGAN MENEKAN, BERIKAN TENANG, BERIKAN RUANG
Kami tidak pernah memberi sebarang tekanan, sama ada dalam bentuk perkataan, sindirian, cebik-cebik muka atau arahan berbau bossy di tempat yang kita bukan bos, atau pushing di tempat kita nak pulling. Semua peserta mesti dibenarkan untuk berfikir dengan tenang. Jangan guna hailer untuk herdik mereka bangun subuh, malah yakinkan supaya mereka optimis untuk solat Subuh berjamaah di awal waktu. Tak perlu dimarah-marah jika lewat sampai ke dewan, cukup sekadar sedarkan yang mereka telah mengambil masa rakan. Golden rule: jangan buat perkara yang kita tidak suka orang buat ke atas kita.
Seterusnya jangan diguris perasaan mereka kerana terluka jiwa akan membawa kepada terbinanya tembok antara kita dan mereka. Gunakan kaedah yang pelbagai untuk sampai kepada tujuan yang sama. Kurangkan guna istilah BID’AH, banyakkan guna TIDAK MENEPATI SUNNAH. Hindarkan kalimah BODOH, biasakan menyebut TIDAK PANDAI. Guna juga reverse psychology di kebanyakan tempat yang ramai Melayu kerana itu tabiat mereka. Di dalam kursus, kami tidak pernah menegur peserta yang tidak menutup aurat. Cuma jika agak keterlaluan pakaiannya, kami anjurkan agar si dia memakai pakaian yang SELESA LAGI MENYELESAKAN. Syukur, lazimnya jika tidak terus bertudung, ramai juga yang pada hari kedua mencari selendang. Malah memang pernah ada yang mengambil keputusan untuk bertudung sebelum kursus tamat, semata-mata sebab ‘kami tak pernah sebut walau sekali pun tentang kewajipan menutup aurat’ dalam kursus tu. Lantas mereka tidak malu dan segan untuk membuat keputusan. Apa yang kami lakukan hanyalah dengan menyedarkan siapa dia di depan Allah, dengan sendirinya rasa malu kepada Allah mendorong dirinya untuk bertudung. Bukan kerana kami, tetapi kerana malu diperhatikan Allah. Oleh itu, kata kunci saya di sini ialah JANGAN MENEKAN, BERIKAN TENANG, BERIKAN RUANG. UBAH PENDIRIAN, FIKRAH DAN FAHAM DAKWAH, MESTILAH SECARA INSIDE OUT
Ada peserta yang kata, “saya harap kawan-kawan saya dapat ikut kursus ni. Saya nak share apa yang saya dapat dari kursus ni dengan mereka. Mereka berhak tahu…”.
Tidakkah ini sebenarnya telah menunjukkan yang peserta itu dalam keadaan tudung senget benget dan keluar tengkuk, sudah secara sukarela menerima konsep kewajipan dakwah? Untuk memahamkan masyarakat tentang kewajipan dakwah, bukanlah suatu yang mudah. Memang semua orang boleh mudah terima jika al-Quran menyebut tentang kewajipan Solat. Jika mereka enggan Solat sekali pun, mereka masih rasa ayat tersebut ada kena mengena dengan mereka. Soal mereka.
Namun, apabila al-Quran bercakap tentang kewajipan dakwah, lazimnya manusia akan senget muka. Dakwah? Apa kena mengenanya dengan aku? Aku tak suka kacau hal orang. Macam-macam lagi reaksi spontan. Mungkin ramai yang rasa kalimah dakwah itu terujuk kepada lebai-lebai yang mengajak keluar 3 hari, atau ustaz-ustaz yang bersyarah di atas kerusi, atau mungkin juga tudung dan nasyid yang dikaitkan sebagai uniform dakwah dan lagu dakwah. Itulah persepsi biasa terhadap dakwah.
Kenapakah sukar bagi kita mengajak orang untuk sama-sama berdakwah? Sebabnya ialah, kita gunakan pendekatan outside in. Atas alasan ’sentiasa mengutamakan al-Quran dan al-Sunnah’ kita lambakkan nas naqli tentang kewajipan dakwah sebanyak mungkin, supaya akan rasa berdosa dan jahat jika masih tidak mahu berdakwah sama. Walaupun syukur memang ada yang akhirnya bertekad untuk bersama, tetapi ramai juga yang hatinya berkata, “ye la, dah Allah suruh, Nabi suruh, takkan nak lawan!”
Namun pendekatan kami di dalam kursus adalah sebaliknya. Kami cuba sedarkan peserta bahawa erti hidup ini ialah pada memberi, dan bukannya menerima.
Siapakah yang lebih gembira, ayah yang berjaya membawa pulang kereta mainan idaman anaknya, atau si anak yang menerima pemberian bapa? Tentunya yang lebih gembira di saat itu ialah bapa. Bapa memberi, anak menerima. Menerima melahirkan senang, tetapi memberi menghasilkan tenang. Orang yang sakit jiwa bukan orang yang kurang menerima, tetapi orang yang bakhil memberi. Kenapa itu semua? Sebabnya mudah. Memberi itu fitrah kita. Kita ini kan hamba Allah. Kita slave, bukannya servant. Seorang hamba tidak berhak mengungkit-ungkit tentang apa yang dia terima. Malah sentiasa sedar yang tugasnya adalah memberi mengikut kemahuan tuannya; juga kemahuan Tuhannya.
Sifat kehambaan hanya datang selepas kita perkenalkan Allah kembali kepada mereka, agar terserlah Allah itu Tuhan dan mereka adalah hamba. Manusia yang lupa dirinya hamba, akan banyak bercakap soal hak, compensation dan pendapatan. Jika ini mentaliti pendakwah, memang tiada masa untuk berdakwah sebab dakwah itu solid memberi, tanpa menerima.
Namun, selepas terbit rasa kehambaan kepada Allah, maka dengan sendirinya, secara inside out, mereka mahu memberi kebaikan dan berkongsinya dengan kawan-kawan. Mereka terasa apa yang mereka dapat itu sangat berharga. Lantas sifat hamba, mendorong mereka untuk memanjangkan kebaikan itu dengan memberinya kepada orang lain. Tanpa disedari, mereka sudahkan mengorak langkah di arena kewajipan berdakwah. Kata kunci saya di sini, UBAH PENDIRIAN, FIKRAH DAN FAHAM DAKWAH, MESTILAH SECARA INSIDE OUT.
KESIMPULAN
Inilah di antara perkara yang sempat saya catatkan supaya empat perkara di atas dapat difikirkan bersama. Adakah dakwah kita selama ini mengambil peduli soal BAB 1 yang saya sebutkan tadi?
Inilah di antara perkara yang sempat saya catatkan supaya empat perkara di atas dapat difikirkan bersama. Adakah dakwah kita selama ini mengambil peduli soal BAB 1 yang saya sebutkan tadi?
Saya amat bersetuju dengan pendapat guru saya, Puan Ainon Mohd , ketika dia mengajar saya KJ Method beberapa minggu yang lalu. Padanya, pemikiran secara linear, seperti di dalam Matematik adalah tidak fitrah. Ia adalah corak pemikiran ciptaan manusia. Allah menciptakan manusia dengan akal fikiran yang mampu berfikir pelbagai perkara di dalam satu masa. Pelbagai subjek yang tiada kena mengena antara satu sama lain, tetapi tersusun dan boleh difahami belaka.
Malah ayat-ayat al-Quran juga tidak turun secara linear. Ini adalah asas kepada KJ Method. Dan pada saya ini juga asas dalam dakwah. Kita boleh sampaikan manusia kepada matlamat Islam daripada pelbagai permulaan dan jalan kerana fitrahnya begitu.
Marilah kreatif dalam berdakwah. Jangan konservatif sangat, itu kan tidak fitrah. Kalau tidak fitrah, memang susah untuk perkasa. FITRAH PERKASA !
Tiada ulasan:
Catat Ulasan